Kita ada satu sahaja hati
jika gembira, hati itulah
jika bertaqwa, hati itulah
jika beriman, hati yang satu itu juga
jika bercinta, hati itu juga
jika terluka, juga hati nan satu itu
terlalu SATU untuk banyak perkara
maka
jagalah hati mu dan hati orang-orang yang menyayangimu
Sms yang dikirim seorang sahabat kepadaku tidak berapa lama dahulu. Hati. Terlalu banyak cerita mengenainya. Komposisi hati adalah darah. segumpal darah. Terlalu unik ciptaan Ilahi, meletakkan segala macam rasa di dalam segumpal darah itu. Yang akhirnya segumpal darah itu yang mempengaruhi tubuh. Fizikal dan mental.
Aku. Terlalu banyak cerita hatiku. Tak terungkap dek kata-kata. Tak tercapai dek akal. Hanya kerana segumpal darah itu, aku pernah merana. Kerana segumpal darah itu, aku pernah menderita, sengsara. Kerana ciptaan Allah yang satu ini juga, aku pernah berbahagia. Duhai hati.
Secara lahiriahnya, manusia melihat aku sebagai seorang gadis periang, bahagia, ceria. Tak punya sebarang kekusutan. Hanya gelak ketawa dan kebahagiaan menyelubungi hidupku. Tapi keadaan di dalam hati ku,siapa mengerti? Duhai hati.
Zaman kanak-kanak ku tak seperti kanak-kanak. Berkejaran gembira, bermain masak-masak, pondok-pondok, aci ligan. Remaja ku tak seperti kebanyakan remaja lain. Bebas bersosial menikmati zaman muda. Adakah dewasa ku juga tak seperti dewasa mu? Ya Allah, Kau penentu segalanya.
Aku penat. Aku jemu. Aku sudah terbiasa. Terbiasa hidup begini. Begini bagaimana? Biarlah hanya tersimpan di hatiku. Duhai hati. Tabahlah menghadapi. Kelak kebahagiaan merapati, insyaAllah.
Kanak-kanak ku, remaja ku dan kelak dewasa ku membuat aku trauma, fobia pada kehidupan. Ligat mata memerhati, fikiran mentafsir dan akhirnya hati membuat kesimpulan. Hidup bukanlah seindah impian. Terjatuh, terluka, parut bersisa lumrah dunia. Indah? Mungkin. Sebagai corak kehidupan. Pahit? Juga mungkin. Kepahitan yang mematangkan diri.
Sahabat-sahaabt yang mengetahui kisahku, menganggap aku seorang yang tabah, matang. Benarkah? Aku.Tabah.Matang. Jika benar tabah, mengapa malam-malam ku dulu ditemani air mata? Doa-doaku meminta ditukarkan takdir? Tabahkah itu? Ya Allah, tabahkan lah hambaMu ini.
Aku kini sudah semakin dewasa. Semakin bijak mengatur hidup. Semakin bijak merencana kehidupan. Semakin bijak mentafsir sesuatu yang tersirat dan tersurat. Semakin memahami kebaikkan disebalik kekurangan. Aturan Sang Pencipta. Tiada cacat celanya.
Tapi, dewasa ku tak bererti aku kuat. Aku masih insan lemah. Manusia hina. Masih tidak dapat menahan hati dari pedih terhina. Masih tidak mampu menampung sedu bila keluarga dipercatur. Apakah ini harga kebahagiaan yang perlu dibayar? Terlalu mahal rasanya.
Wahai manusia, janganlah ada beza antara kita. Aku penat. Penat bersaing. Untuk apa ini semua? Hanya untuk menunjukkan kita hebat? Tak perlulah. Ada yang lebih hebat. Yang pasti Allah yang Maha Hebat. Tak terjangkau dek akal.
Ya Allah. Hatiku hanya adaMu
Tabahkan, kuatkan hati ini.
Hati nan satu ini.
No comments:
Post a Comment